Uni : TITAS - Sumbangan Tamadun China dalam Bidang Pertanian


An assignment for TITAS that I wrote during my second semester of my Degree studies. 


Sumbangan Tamadun China dalam Bidang Pertanian

Tamadun Cina merupakan antara tamadun tertua di dunia yang dikesan sejak 2000 tahun sebelum Masihi. Tamadun ini berkembang pesat pada zaman Dinasti Shang (1766 – 1122 SM atau 1523 – 1027 SM) di mana antara bandar utama yang muncul ialah Anyang, Changan dan Loyang. Tamadun Cina bermula dari lembah sungai iaitu di Sungai Kuning atau Sungai Hwang Ho yang menjadikan tanahnya subur dan lembab serta sesuai untuk pertanian yang menjadi kegiatan utama masyarakat pada ketika itu. Selain itu, kegiatan-kegiatan ekonomi lain turut diamalkan seperti kegiatan berburu, penternakan dan kegiatan industri seperti industri logam, arang batu dan tekstil. Dalam sektor pertanian, masyarakat tamadun ini menjadikan penanaman padi sebagai tanaman utama mereka dan ini turut menjadi asas ekonomi negara China sejak kewujudannya.

Sistem ekonomi yang diamalkan pada abad ke-16 dan ke-17 M ini adalah bercorak sara diri di mana sebahagian besar daripada penduduk China terlibat dalam aktiviti bercucuk tanam. Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming dan Qing, masyarakat China masih dipanggil sebagai masyarakat agraria kerana hampir 85% daripada keseluruhan penduduk melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Pertanian yang wujud di tamadun China pada ketika ini memainkan peranan yang penting dalam kemajuan sektor pertanian yang wujud pada hari ini. Sebagai contoh, penggunaan batas untuk kaedah penanaman yang bermula pada tamadun ini. Batas merujuk kepada tapak tanah yang telah ditinggikan bagi memastikan tanaman sayuran tidak tenggelam dalam air bergenang dan turut digunakan sebagai pemisah antara tanah pesawah-pesawah padi. Cara penanaman ini sangat sesuai dengan tamadun ini di mana ia berfungsi sebagai salah satu cara yang baik untuk mengairi tanaman mereka serta mengelakkan daripada tanaman  tenggelam akibat banjir. Sistem batas dalam pertanian kini digunakan di seluruh dunia dalam pelbagai jenis tanaman terutamanya dalam penanaman padi. 
Tamadun China turut memberikan sumbangan yang besar dalam penciptaan alatan pertanian seperti tajak, cangkul, penyisir tanah dan tenggala untuk membuat batas. Tidak dilupakan juga, penciptaan sabit yang turut diwujudkan pada tamadun ini. Penggunaan besi dalam alatan pertanian yang turut dimulakan oleh tamadun ini turut memberi kesan yang besar kepada produktiviti para petani kerana mereka dapat melakukan kerja dengan lebih mudah dan efisien. Hal ini adalah sangat berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana alatan pertanian pada ketika itr\u diperbuat sepenuhnya daripada kayu.

Selain itu, tamadun ini juga mewujudkan sebuah sistem pengairan yang sistematik hasil buah fikiran pemimpin mereka yang amat prihatin terhadap pembangunan pertanian sejak zaman awal dinasti China lagi. Pada ketika ini, sistem terusan dibina untuk mengairkan kawasan pertanian selain mengelakkan berlakunya banjir daripada punca air yang berdekatan. Sistem pengaliran ini telah diteruskan pada zaman Chin oleh Shih Huang Ti ke kawasan barat daya China. Sebuah terusan telah dibina di Sichuan untuk mengairkan kawasan pertanian di wilayah tersebut yang seluas 2 juta hektar. Terusan ini turut dibina untuk mengangkut hasil pertanian ke bandar-bandar.

Seterusnya sistem parit turut diwujudkan di mana tanah padi dipisah-pisahkan kepada petak-petak sawah yang kecil serta mewujudkan takungan air untuk digunakan sekiranya berlakunya kemarau  Bagi mengairi kawasan pertanian yang jauh dari sumber air, kaedah empangan telah diwujudkan. Tambak juga telah dibina untuk mengelakkan daripada banjir yang berupaya memusnahkan kawasan pertanian.

            Selain daripada itu, tamadun China turut memperkenalkan sistem tanaman bergilir yang dimana tanaman yang datang dari jenis yang berbeza dan ditanam dalam satu kawasan yang sama selepas sesuatu musim penanaman.  Sistem tanaman ini membantu dalam mengekalkan kesuburan tanah serta meningkatkan kualiti hasil tanaman. Mengikut sistem ini hasil tanaman akan ditanam dengan kitaran tanaman berdaun, diikuti tanaman berakar, tanaman jenis kekacang serta tanaman jenis berbuah. Selain itu, penanaman jenis bergilir ini turut membantu dalam mengawal haiwan perosak dan penyakit serta membantu penyerapan nutrien yang sekata.

            Tamadun ini juga menyumbangkan cara penanaman dengan cara membina teres di lereng-lereng bukit bagi membolehkan penanaman padi djalankan. Cara penanaman ini adalah sangat berguna bagi kawasan yang berbukit-bukau dan berupaya menjimatkan ruang pertanian yang seterusnya meningkatkan hasil pertanian. Apa yang menariknya adalah cara penanaman ini adalah cukup serasi dengan pelbagai jenis tanaman pada hari ini. Dalam sistem penanaman secara berteres, bekalan air disalurkan ke kawasan pertanian daripada terusan dan kolam takungan air dengan menggunakan kaedah mengepam air. Pam yang digunakan dalam kaedah ini digerakkan sama ada dengan menggunakan tenaga binatang ataupun manusia.

Penciptaan kolar kuda untuk menarik tenggala kayu, kereta kuda dan kereta sorong beroda serta penyisir tanah juga merupakan salah satu daripada sumbangan tamadun ini dalam bidang pertanian. Di Barat pada ketika itu, penggunaan kolar kuda menyebabkan kuda sering tercekik apabila mengangkat atau menarik barang-barang yang berat atau ketika melakukan aktiviti menyisir tanah. Dengan revolusi kolar kuda yang diperkenalkan sejak abad keempat sebelum Masihi ini, kuda-kuda yang digunakan untuk mengangkut barang-barang berat ini dapat menarik beban sehingga 1.5 tan dan penggunaannya tidak melemahkan atau mencekik kuda tersebut. Hal ini memelihara hak asasi haiwan tersebut serta membantu memajukan sistem pertanian pada ketika itu.

Kesimpulannya, tamadun China telah memberikan pelbagai jenis sumbangan dalam bidang pertanian yang turut menjadi asas kemajuan yang telah kita kecapi pada hari ini. Oleh itu kita haruslah menghargai sumbangan-sumbangan ini dan memelihara serta memajukanya sebaik mungkin agar kemajuan ini turut dapat dinikmati oleh generasi akan datang.  

Rujukan :
https://www.slideshare.net/MalarMuthiah/ekonomi-masyarakat-tamadun-china-8720414
http://cikgustpm.blogspot.my/2012/06/masyarakat-agraria-di-china.html

Share:

0 comments